Kami berlindung dengan-MU ya ALLAH daripada syaitan yang direjam...
Dengan nama ALLAH Yang MAHA PENGASIH lagi MAHA PENYAYANG
Assalamu’alaikum wrh wbt...
Dengan nama ALLAH Yang MAHA PENGASIH lagi MAHA PENYAYANG
Assalamu’alaikum wrh wbt...
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
“Sesungguhnya Allah SWT menurunkan wahyu kepadaku supaya kalian bersikap tawaduk hingga satu sama lainnya tidak saling membanggakan dan tidak bertindak lain satu sama lainnya.”
(Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
Al-Fadhil bin Iyad ketika ditanya apakah tawaduk? Jawabnya, “Tunduk kepada kebenaran, patuh dan menerima segala suruhan Tuhan.”
Kata Al-Hasan pula, “ Tawaduk ialah tidak adanya rasa dalam hati seseorang itu kecuali kemuliaan.”
Justeru, tawaduk didefinisikan sebagai hati yang khusyuk, dan merendah diri serta seluruh anggota luar dan dalam untuk tunduk dan patuh pada perintah ALLAH s.w.t.
Apabila dikaitkan dengan persoalan hati, hati yang khusyuk umpamanya, bukan suatu yang mudah untuk dizahir atau diamalkan. Bahkan memerlukan masa yang lama untuk mengusainya.
Mungkin model ikutan yang mudah untuk dicontohi ialah pemimpin. Pemimpin dilihat bukan pada status kekuasaannya sahaja, tetapi dilihat nilai peribadinya seperti sanggup berkorban, mementingkan orang lain, down to the earth dan sebagainya. Pemimpin yang memiliki sikap tawaduk akan disenangi dan dihormati oleh sekalian rakyat. Tetapi harus diingat, sikap tawaduk para bukanlah sikap yang ditunjuk-tunjuk seperti kebanyakan pemimpin hari ini, tetapi ianya sesuatu yang lahir daripada hati, bukannya lakonan untuk memenangi hati rakyat sahaja. Bermusim tetapi tidak berterusan dan berpanjangan.
Dalam Islam sendiri, rendah diri dan berbudi pekerti luhur disebut sebagai tawaduk. Namun begitu, mutakhir ini bukan mudah untuk kita jumpa pemimpin yang mempunyai sikap tersebut, baik pemimpin politik, pentadbiran atau pemimpin keluarga itu sendiri. Bukan nilai luaran yang dicari, bukan juga kata-kata manis terperi, serta janji-janji manis ditaburi. Namun tawaduk itu adalah tingkah laku yang dipamerkan lahir daripada kefahaman dan keikhlasan hati.
Kembali kepada sejarah Nubuwwah. Nabi Muhammad s.a.w. sendiri telah menunjukkan kepada kita, umatnya akan ciri-ciri tawaduk yang mesti diterapkan dalam diri setiap Mu’min. Ja’afar al-Barzanji di dalam kitabnya berkata, “ Rasulullah s.a.w. itu sopan santun orangnya, suka merendah diri serta tidak menolak pekerjaan biasa untuk dikerjakan olehnya. Nabi s.a.w. juga menjahit sendiri kasutnya, menampal kain atau bajunya yang koyak, biasa memerah sendiri susu kambingnya untuk diminum, malah Nabi s.a.w. telah menunaikan segala kewajipan terhadap ahli rumahnya dengan baik.” Sikap tawaduk Nabi ini wajar dicontohi. Tidak dinafikan, sikap tawaduk seperti ini menjadi faktor pemangkin kepada mudahnya Islam diterima.
Ja’afar juga mengatakan, “Rasulullah s.a.w. sangat berbelas kasihan terhadap fakir miskin malah kerap duduk bersama dengan merendahkan diri Baginda.”
Tamadun Islam pada peringkat awal dahulu dibina bukan semata-mata atas landasan keintelektualan sahaja, tetapi kesungguhan para pendokongnya menghayati ajaran agama Islam yang syumul ini dengan niat untuk mendapat keredhaan ALLAH s.w.t.
Malangnya, gelombang atau anasir luar yang makin menular ke setiap penjuru tubuh badan anak-anak muda sekarang menyebabkan terhakisnya sikap-sikap seperti ini. Kemunculan trend yang pelik dari kalangan mereka dan gelombang ini diistilahkan sebagai ‘Jahiliah Moden’. Dimana jahiliah moden ini sewajarnya tidak berlaku di era penuh globalisasi abad ini, namun hakikatnya jahiliah moden ini lebih dahsyat pembawakan dan kesannya pada ummah. Ketika zaman jahiliah (klasik?) dahulu, orang-orang Arab mengamalkan zina diantara lelaki dan perempuan, namun apa yang berlaku kini, bukan sahaja zina berleluasa tetapi juga hubungan sejenis (perempuan dan perempuan @ lelaki dan lelaki) meningkat bilangannya. Zaman dahulu berlakunya kes pembunuhan anak perempuan kerana mereka dikatakan membawa aib kepda keluarga, tetapi kini anak kecil dibunuh dengan kejam malah ada yang ‘membunuh’ anak yang masih di dalam kandungan (menggugurkan anak).
Gejala sosial seperti inilah yang telah mengancam iman. Dan apabila sikap tawaduk tidak lagi menjadi makanan diri, maka umat Islam akan menjadi orang yang biadap, sombong, tidak menghormati orang lain dan sebagainya. Seperti kata Al-Ghazali Bayruni "Hidup biar beradab, bukan hidup untuk biadap."
Firman ALLAH s.w.t.:
“ Dan hamba2 ALLAH al-Rahman (yang diredhaiNya) ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang yang berkelakuan kurang adab, menghadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan kata2 yang selamat daripada perkara yang tidak diingini.”
(Al-Furqan: 63)
Agar umat Islam kembali menjadi umat yang berjaya, KITALAH yang perlu mengusahakan agar memiliki keperibadiaan yang unggul serta punya nilai-nilai jati diri sebagai hamba ALLAH s.w.t. yang diredhai-NYA. Salah satu elemen penting dalam menyebarkan dakwah Islamiyah adalah dakwah bil hal, yakni dakwah melalui tingkah laku, sikap dan amalan harian kita. Lebih-lebih lagi sebagai figure, kita akan sentiasa dilihat dan diperhati gerak geri. Silap sedikit maka kecohlah jadinya. Tetapi jarang-jarang sekali orang sekeliling mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku.
Namun, insyaALLAH dengan istiqamahnya kita dalam mempamerkan akhlak yang mulia ini, insyaALLAH semakin ramai yang akan kembali tertarik dengan Islam. Jangan dengan sikap kita yang mengambil remeh akan hal ini, menjadikan ianya satu fitnah terhadap agama yang dicintai ini.
“Tiada satu pun kurnia yang diperoleh seseorang yang bersikap tawaduk kepada ALLAH s.w.t. kecuali ALLAH s.w.t. meninggikan darjatnya.”
(Hadis Riwayat Muslim, al-Tarmizi dan Ahmad)
Wallahua’lam...
No comments:
Post a Comment